Hatiku Tidak Tenang Jika "Sebesar Cawan"

>> Sunday, November 15, 2009


Orang yang gagal, selalu menjadikan masalah yang kecil menjadi besar manakala orang yang berjaya menganggap masalah besar itu kecil. Bukankah ujian itu TARBIYYAH dari ALLAH S.W.T.? Oleh itu, hadapinya dengan tenang dan tabah. Mana tahu, natijah esok lebih baik dan indah dari semalam..

" Aduhai, kenapakah hidup aku selalu dirundung malang begini? " kataku berkeluh-kesah. Selama hidupku, aku tak pernah merasakan ketenangan yang sebenar. Hati tidak pernah sepi daripada merasakan kerisauan. Fikirku, Allah tidak pernah sudi meminjamkan kedamaian hati padaku. Aku sangat cemburu apabila memandang sekeliling. Mereka bebas ketawa dan mudah tersenyum. Tapi aku? Aku hanya mampu tenggelam dalam dunia sepi dan resahku sendiri.

Hatiku tidak mampu mengisi segala masalah yang menghimpit jiwa. Lalu, selepas lelah dan puas berfikir, suatu hari aku melangkah longlai menuju ke hujung kampung. Niat hati, ingin menemui seorang lelaki tua. Saban hari, wajah lelaki tua itu sentiasa basah dan sejuk. Damai sentiasa bertamu diwajahnya. Aku ingin sekali meminta rahsia, " bagaimanakah boleh ku nikmati hidup begitu juga? " . Lalu, aku terus bertanya kepada lelaki tua tersebut.

Masalah keluh kesah dan kerisauan aku didengari lelaki tua itu sambil tersenyum. Lalu mengajak aku ke suatu tempat iaitu ke tepi sebuah kolam yang besar sambil membawa sebiji cawan dan dua bungkus garam. Aku mengikut, walaupun hati sedikit hairan.

" Anak muda... " lelaki tua itu bersuara .

" Ambillah cawan ini, isikanlah air dan masukkanlah sebungkus garam. " ujarnya lagi. Aku yang dalam kebingungan hanya menurut. Cawan diambil... air diisi... dan garam dimasukkan. Kemudian lelaki tua itu berkata lagi.

" Sekarang kamu minumlah air tersebut ". Dalam bingung yang masih bersisa, aku mengikut kata lelaki tua itu.

" Apa rasanya? ", tanya lelaki tua itu apabila melihat kerutan di dahi ku.

" Masin! " lelaki tua itu tersenyum lagi.

" Sekarang, kamu masukkan pula sebungkus garam ini ke dalam kolam itu, dan kamu hiruplah airnya. "

Lelaki tua itu menunjukkan arah ke kolam. Sekali lagi aku hanya mengikut tanpa menyoal. Air dicedok dengan kedua belah tapak tangan dan dihirup.

" Apa rasanya, anakku? " soal lelaki tua itu.

" Tawar, tidak masin seperti tadi ", aku menjawab sambil mengelap mulut.

" Anakku, adakah kamu memahami kenapa aku meminta kamu berbuat begitu tadi? " tanya lelaki tua itu, sambil memandang tepat ke arah aku. Aku hanya menggeleng. Lelaki tua itu menepuk-nepuk bahu ku.

" Anakku, beginilah perumpamaan kita dan masalah. Garam itu umpama masalah. Cawan dan kolam umpama hati kita. Setiap orang mempunyai masalah, ditimpa masalah, dan diuji dengan masalah. Tetapi, kalau hati kita sebesar cawan, maka kita akan merasai pahitnya masalah itu, pedihnya hati kita dan keluh kesahnya kita.Tetapi kalau hati kita sebesar kolam, masalah tidak akan mengganggu kita. Kita masih boleh tersenyum, sebab kita akan mengerti masalah bukan hadir untuk menyusahkan kita. Masalah dianugerahkan untuk kita berfikir, untuk kita muhasabah diri. Masalah dan ujian akan memberi hikmah kepada kita.Anakku, itulah rahsiaku. Aku sentiasa bertenang dan berlapang dada, aku sentiasa membesarkan jiwaku, supaya aku boleh berfikir tentang perkara-perkara lain dan masih boleh memberi kebahagiaan padaku. Aku tidak akan sesekali membiarkan hatiku kecil seperti cawan, sehingga aku tidak mampu menanggung diriku sendiri " .

Maka, pada petang itu. aku pulang dengan senyuman yang terukir di bibir. Dalam hati, aku berjanji, akan sentiasa bertenang-tenang, membesarkan jiwa dan berlapang dada! Janganlah membiarkan kita lemas dalam masalah tetapi nikmatilah masalah itu. Sesungguhnya ada hikmah disebaliknya...

InsyaAllah... ketenangan hati itu hak milik orang "ISLAM"...

0 comments:

link 4 dakwah

BannerFans.com

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP