~Penyuluh Langit Siang~

>> Sunday, September 27, 2009



terang langit lagi bersuluh
disuluh lampu picit hampir mati suluhnya
merasa begitu bangga dengan usaha itu
sedang sedikitpun ia tidak merubah
lantai bumi yang sudah cerah disinar mentari pagi

masih ia terus tegar disitu
menyuluh langit
barangkali pada fikirnya usahanya sangat besar maknanya
telah ramai yang lalu lalang
bertanya pelik mahupun memberitahu si penyuluh
yang suluhnya sudah hampir mati
lampu picitnya sudah hampir kehabisan bateri gamaknya

tapi si penyuluh tetap memekakkan telinga
kerana dia merasa penting,seronok dan puas
sedangkan kelapa masih banyak belum berparut
menanti untuk dijual
tapi tetap si penyuluh disitu

merasakan tugasnya penting menyuluh langit
matahari pun tegaklah panas dikepalanya
takkanlah langit bisa gelap jika tidak disuluh lampu picit?

parutlah kelapa yang berlonggok
masih banyak tugas dan tugas yang masih menunggu
kelapa akan busuk jika dibiar
tugas akan berlonggok jika ditangguh

benarlah perjuangan kebenaran bisa tumpas tanpa perancangan.
biarpun ia terus menerus melakukannya
sekadar memenuhi kebiasaan..




Read more...

Selamat Hari Raya 'Aidilfitri

>> Friday, September 25, 2009


Salam Kemaafan dan Terima Kasih di bulan Syawal ini…..

Ini adalah sebuah kisah tentang dua orang sahabat karib yang sedang berjalan melintasi gurun pasir. Di tengah perjalanan, mereka bertengkar dan salah seorang menampar temannya. Orang yang kena tampar, berasa sakit hati tapi tanpa berkata apa-apa pun, dia menulis di atas pasir: HARI INI, SAHABAT TERBAIKKU MENAMPAR PIPIKU.

Mereka terus berjalan, sampai menemui sebuah oasis, di mana mereka membuat keputusan untuk mandi. Orang yang pipinya kena tampar dan terluka hatinya, cuba berenang namun nyaris tenggelam dan lemas, tetapi berjaya diselamatkan oleh sahabatnya. Ketika dia mulai sedar dari lemas dan rasa takut sudah hilang, dia menulis di atas sebuah batu: HARI INI, SAHABAT TERBAIKKU MENYELAMATKAN NYAWAKU.

Orang yang menolong dan menampar sahabatnya, bertanya, "Kenapa setelah aku melukai hati engkau, engkau menulisnya di atas pasir, dan sekarang engkau menulis di batu pula?".

Temannya sambil tersenyum menjawab, "Ketika seorang sahabat melukai kita, kita harus menulisnya di atas pasir agar angin maaf datang menghembus dan menghapus tulisan tersebut. Dan bila sesuatu yang luar biasa terjadi, kita harus memahatnya di atas batu hati kita, agar tidak hilang ditiup angin...."

Ringkaskan cerita, dalam hidup ini sering timbul berbeza pendapat dan konflik kerana sudut pandangan yang berbeza. Oleh sebab itu, cubalah untuk saling memaafkan dan lupakan masalah lalu kerana dari situlah kita akan dapat mendapat ketenangan hati dalam membuat sebarang keputusan. Hati mesti mencari ketenangan untuk-Nya agar mendapat petunjuk dari-Nya...

Walaupun Ramadhan telah berlabuh, apa yang kita lakukan di dalam bulan yang mulia itu, mestilah diistiqamahkan agar kita tidak mengejar habuan hanya pada amalan di bulan Ramadhan sahaja. Jika punyai umur yang panjang, Ramadhan kita singkapkan lagi bersama. InsyaAllah... doakan...

Untuk wakil blog tautan-harakah, ingin mengucapkan pada semua penghuni blog dan semua pembaca..

Selamat Hari Raya ’Aidilfitri... Maaf Zahir & Batin...


Salam Kemaafan dan Terima Kasih di bulan Syawal ini….. Maaf Zahir & Batin....

Read more...

Ujian itu macamana ye?

>> Thursday, September 10, 2009


Dalam kehidupan kita sebagai makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT di muka bumi ini kita akan berhadapan dengan berbagai- bagai ujian yang tidak disangka- sangka sama ada kita sedar atau pun tidak, ujian mungkin sesuatu yang sukar ataupun sesuatu yang mudah kita tangani bergantung kepada pergantungan kita kepada Allah SWT.

Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya);
(AL- Balad:4)

Kalaulah dulu kita adalah seorang kanak- kanak, mungkin ujian yang paling besar untuk kita ini kita dikongkong oleh ibu ayah 24 jam, pulang lewat je adanya ujian yang akan menanti. Dan dalam diri ini mengatakan kalau tidak ada kongkongan baru bebas, tapi menginjak ke alam remaja mungkin masalah dikongkong ibu ayah 24 tidak lagi satu masalah tapi masalah yang lain pulak yang berlaku. Antaranya kita menghadapi masalah study dan exam pulak..

Kalaulah dulu kita adalah seorang pelajar dan masa banyak dihabiskan untuk menyiapkan assignment, tutorial, kena hadapi test, exam dan mungkin terlibat dengan beberapa kelab di tempat belajar masing- masing menyebabkan kita kepenatan tapi bila ke alam kerjaya benda baru yang menimpa. Di alam kerja kita sudah kena fikir makan pakai sendiri, budget duit gaji perlu digunakan macamana kalau tidak, tak sampai satu bulan sudah tidak ada duit, bayangkan bila kena bayar sewa rumah, sewa kereta, bil air dan elektrik, tunggakan hutang, bayaran pinjaman dan macam- macam lagi.

Itulah merupakan sunnah kehidupan yang perlu dihadapi oleh semua manusia tidak terkecuali dia bangsa apa, agama, keturunan apa semua akan melalui perkara yang sama belum lagi kita tengok pada zaman seterusnya, zaman dewasa macamana? zaman tua kita macana? Fikir- fikirkanlah...

Tapi adakah ujian yang sama antara kita dengan orang lain boleh melayakkan kita berada pada martabat yang baik di sisi Allah???

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
(Al-Mulk:2)

Oleh itu bagi membezakan kita dengan orang lain kita hendaklah mencari sesuatu yang boleh kita buat, apa dia ye? Kita hendaklah menjadi umpama kita diletakkan di laut kita akan jadi pulau yang boleh menyediakan para nelayan beristirehat, diletakkan kita di mana- mana sahaja kita mampu memberikan kebaikan kepada sekeliling kita. Tapi janganlah kita seperti daun keladi yang sedikit pun tidak terkesan walau sedikit pun.

So jawapannya, kita hendaklah menjadi seorang daie. Walaubagaimanapun antara ujian sebagai seorang daie ini ialah kewangan, keluarga, anak- anak, pihak pemerintah, akta- akta yang tidak berpihak kepada daie dan seumpamanya..

Dalam surah di atas,Imam al-Mawardi menafsirkan ‘siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya’ sebagai ‘siapakah di kalangan kamu yang lebih redha terhadap ketentuan Allah dan lebih sabar terhadap ujianNya’.

Jangan sesekali menyalahkan takdir. Allah Maha Adil untuk menzalimi manusia.


"dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya."
(Fussilat: 46)

Yakinlah bahawa segala yang berlaku adalah dengan takdir Allah. Allah mengkehendaki berlakunya kepayahan dan kesusahan di dalam hidup. Semua itu untuk mengangkat martabat manusia. Lebih tabah kita menghadapinya, lebih tinggi martabat kita di sisi Allah.
Kehidupan generasi awal membuktikan hakikat ini. Mereka diuji dengan pelbagai ujian dalam kehidupan.


Saidina Osman r.a. diuji dengan kematian satu demi satu isterinya (kedua-duanya adalah anak Rasulullah s.a.w.). Rasulullah s.a.w. memujuknya ketika beliau berada di kemuncak kesedihan pulang dari majlis pengkebumian: "Jika aku mempunyai yang ketiga (anak perempuan lain yang masih belum berkahwin) akan ku kahwini denganmu." Tetapi Rasulullah s.a.w. tidak ada lagi anak perempuan lain dan Saidina Osman r.a. tabah menerima hakikat itu.

Saidina Omar r.a. diuji dengan kemarau dan wabak penyakit yang menimpa negara Islam selama bertahun-tahun. Kulit Saidina Omar r.a. yang asalnya berwarna putih kemerah-merahan bertukar gelap disebabkan kekurangan makan dan minum. Umat Islam ketika itu menangisi keadaan dan kesulitan yang dihadapi oleh Khalifah mereka tetapi Saidina Omar r.a. terus bertekad untuk menjadi manusia yang paling sedikit makan dan minum di kalangan umat Islam sepanjang krisis ini berlaku.


Kenapakah manusia yang berjasa kepada umat Islam juga diuji dengan ujian hidup? Kerana kecintaan Allah kepada mereka. Mereka menghadapi semua itu dengan tabah lalu Allah mengangkat martabat mereka di sisiNya. Kemudian mereka diuji lagi dengan ujian yang lebih besar, mereka menghadapinya dan martabat mereka akan semakin tinggi. Demikian pusingan kehidupan.

Begitulah Kita

Hadapilah ujian hari ini dengan tabah. Bersedialah untuk ujian seterusnya yang lebih besar. Jadilah orang yang kuat untuk menghabiskan baki kehidupan. Moga Allah menempatkan kita di kedudukan yang tinggi di akhirat kelak.

Read more...

Antara Sabar & Mengeluh

>> Sunday, September 6, 2009

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Di waktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.

"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."

Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini"

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu?"

Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing?"

Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu?"

Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. “Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua.”

Lalu Abul Hassan bertanya, “Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu?”

Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."

Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah S.A.W. bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi: " Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh Islam dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah S.A.W. bersabda,:
" Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab(buka kamus cari maksud juga) orang."

Dan sabdanya pula,

" Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)

Semoga kita dijadikan sebagai hamba Allah yang sabar dalam menghadapi segala musibah kerana setiap musibah akan mematangkan sebuah perjuangan. Kejarlah nikmat 10 hari Ramadhan terakhir, kurangkan tidur dan aktiviti-aktiviti yang tiada manfaat. Hati tenang bersama Islam!


Di dalam bulan Ramadhan yang mulia kali ini, mungkin ada di kalangan kita mahupun hamba-hamba Allah yang lain diuji dengan hal-hal dunia yang mana tidak berkekalan selama-lamanya tetapi boleh kita ambil sebagai ikhtibar dan lakukan persediaan.. merungut boleh, biasalah.. hamba-Nya, jiwa boleh jadi kacau bila-bila masa tetapi jangan terlampau merungut..

Read more...

Kenapa Kita Diciptakan?

>> Saturday, September 5, 2009


Bismillahirrahmanirrahim,
Sidang pembaca sekalian, marilah sama- sama kita menghayati beberapa potong ayat Al- Quran yang mana isi- isi Al- Quran ini telah diturunkan kepada Nabi kita iaitu Rasullullah SAW.


Selawat dan salam terhadap junjungan kita Rasullullah SAW yang mana seperti yang kita imani bahawa beliau merupakan nabi yang terakhir. Syukur ke hadrat Ilahi kita semua, saya dan pembaca- pembaca sekalian sungguh beruntung menjadi pengikut nabi Muhammad SAW.
Sebab apa saya berkata demikian, sebab kita kita dikurniakan bermacam- macam kenikmatan yang tidak dapat diperolehi oleh umat- umat terdahulu.
Antaranya kita dikurniakan bulan Ramadhan yang dalam ayat Al-Quran Allah menyebut yang bermaksud

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
surah Al- Baqarah(ayat 183, surah yang ke2)

Di dalam bulan Ramadhan sahaja kita dijanjikan malam lailatul- Qadar yang mana apabila sesorang mendapat malam barakah tersebut amalannya sama macam 1000 bulan.Subhanallah, walaupun kita merupakan umat yang pendek umurnya tapi disebabkan kelebihan kita diumpamakan beribadat 1000 bulan seperti ibadat umat-umat terdahulu.Bermacam- macam yang Allah berikan dan mungkin 15 pena lain boleh menghuraikan lebih lanjut pasal ini, sebab penulisan saya ini menjurus kepada Kenapa Kita Diciptakan?

Mari kita membelek surah At- Taariq ayat 5 hingga 8

[5](Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan.
[6]Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim) -
[7]Yang keluar dari "tulang sulbi" lelaki dan "tulang dada" perempuan.
[8]Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya (hidup semula sesudah mati),

Dalam ayat di atas menyingkap satu perkara yang kita kena tahu bahawa, Allah suruh kita fikir kenapa kita diciptakan, kalau pembaca pernah belajar kita dilahirkan disebabkan persenyawaan antara benih ayah dan ibu kita, betul x?

Masa belajar Sains dahulu kita akan belajar macamana sperma yang berjuta- juta ingin menembusi satu telur yang dipanggil ovum, betul x? Semua sperma berhempas pulas nak masuk ke dalam telur itu. Antara banyak- banyak itu hanya satu yang berjaya memasuki telur tersebut.

Mari kita bayangkan pada masa itu kalau kita berada di tempat kejadian maka kitalah yang berjaya masuk ke dalam telur itu? Betul tak?Ingatlah semua itu Allah sudah takdirkan untuk kita berjaya memasuki telur tersebut.

Sebab apa Allah mahukan kita diciptakan?Marilah kita renung maksud ayat yang dibawah ini

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
(surah Ad-Dzariyat:56)

dan satu lagi ayat Al-QuranDan

hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
(surah Ali- Imran:104)

Jadi secara kasar dapatlah kita fahami bahawa kita diciptakan di dunia tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya dan melaksanakan segala perintahNya,

Wallahualam, yang baik daripadaNya dan yang kurang dari silap dan kelemahan diri ini....

Read more...

link 4 dakwah

BannerFans.com

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP