Showing posts with label Kak Aishah(Along). Show all posts
Showing posts with label Kak Aishah(Along). Show all posts

Hadis : NIAT

>> Tuesday, April 27, 2010

Daripada Amirul Mukminin ‘Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”

ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih.

Hadis ini adalah salah satu hadis utama dalam lslam.

Read more...

JADIKANLAH TAUBAT AMALAN RUTIN

>> Monday, February 1, 2010

Kenangkan dosa hari ini, dosa semalam dan hari-hari yang telah berlalu kita lakukan. Alangkah banyaknya…sehingga tidak terhitung. Namun demikian Allah al-Rahman tidak pernah menarik balik nikmat penglihatan, pendengaran dan percakapan yang telah melakukan dosa. Malah Allah al-Rahim sentiasa menutup keaiban dan kekurangan diri kita daripada diketahui oleh orang lain.

Setiap insan tidak dapat lari daripada melakukan dosa dalam menjalani kehidupan seharian. Amat banyak pendurhakaan kepada Allah yang telah kita lakukan sejak baligh hingga ke saat ini. Inilah kelemahan insan yang tidak dapat dinafikan. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Manusia itu diciptakan dalam keadaan lemah.” (Surah al-Nisa’:ayat 28)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Setiap anak adam sering melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat”. ( Ibn Majah )

Sesiapa yang mengatakan bahawa dia tidak mempunyai dosa sebenarnya dia telah melakukan dosa dengan ucapan sedemikian. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka janganlah kamu menganggap diri kamu suci. Dan dialah yang Maha Mengetahui siapa yang bertakwa”. ( Surah al-Najm : 32 )

Agama kita memperuntukkan satu amal soleh yang boleh menghapuskan segala dosa yang dilakukan iaitu taubat sebagai mengimbangi kelemahan manusia ini. Allah SWT yang bersifat dengan sifat al-Tawwab ( Maha Penerima Taubat) dan al-Ghafur ( Maha Pengampun) tidak akan membiarkan kelemahan hambanya ini dengan begitu sahaja. Dalam al-Quran bayak dijelaskan keutamaan, dorongan dan perintah agar kita sentiasa bertaubat.

Maksud firman Allah SWT :

“Dan bertaubatlah kamu semua wahai orang-orang yang beriman supaya kamu memperolehi keuntungan.” (Surah al-Nur: 31)

Maksud Firman Allah SWT :

Dan bersegeralah menuju kepada keampunan dari Tuhan kamu dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. ( Surah Ali Imran :133)

Allah SWT juga berfirman:

"Dan dirikanlah shalat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya amalan-amalan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat." ( Surah Hud: 114).

Hadis-hadis Nabi saw juga banyak yang menyebut tentang kelebihan dan tuntutan taubat, antaranya ialah ;
Dari Nabi saw bersabda bahawa Allah berfirman ( hadis qudsi ) :

"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa, oleh itu pohonlah keampunan kepadaKu, nescaya Aku mengampuni kamu." (Imam Muslim).

Sabda Nabi saw :

“Sesungguhnya Allah SWT sangat gembira dengan taubat hambaNya melebihi kegembiraan salah seorang di antara kamu yang kehilangan untanya di padang pasir kemudian menemukannya kembali”. ( Imam Muslim)

Dalam sabdanya yang lain, Rasulullah mengatakan:

“Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada siang hari, dan Allah membentangkan tangan-Nya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada malam hari, sampai matahari terbit dari barat.” (Imam Muslim )

Rasulullah saw yang terpelihara daripada dosa dan diutuskan agar menjadi contoh kepada sekalian manusia juga memohon keampunan kepada Allah sebanyak seratus kali dalam sehari sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Begitulah petunjuk sunnah Rasulullah saw kepada kita semua agar sentiasa bertaubat setiap masa. Jangan dibiarkan dosa berlanjutan dan dijadikan koleksi dari semasa ke semasa kerana maut datang tanpa isyarat dan amaran. Dosa yang dibiarkan pasti akan memberi kesan buruk kepada kita di akhirat kelak.

Allah SWT yang bersifat Maha Penyayang telah mensyariatkan ibadat yang menjanjikan dosa-dosa diampunkan. Antaranya ;

1- Berwuduk

Rasulullah saw bersabda : “Tidaklah salah seorang daripada kamu mendekati air wuduknya, kemudian berkumur-kumur, memasukkan air ke hidungnya lalu mengeluarkannya kembali, melainkan gugurlah dosa-dosa di (rongga) mulut dan rongga hidungnya bersama air wuduknya, kemudian (tidaklah) ia membasuh mukanya sebagaimana yang Allah perintahkan, melainkan gugurlah dosa-dosa wajahnya melalui hujung-hujung janggutnya bersama titisan air wuduk, kemudian (tidaklah) ia membasuh kedua tangannya sampai ke siku, melainkan gugurlah dosa-dosa tangannya bersama air wuduk melalui jari-jari tangannya, kemudian (tidaklah) ia menyapu kepalanya, melainkan gugur dosa-dasa kepalanya bersama air melalui hujung-hujung rambutnya, kemudian (tidaklah) ia membasuh kedua kakinya, melainkan gugur dosa-dosa kakinya bersama air melalui hujung-hujung jari kakinya.” (Imam Muslim)

2. Solat fardu, solat Jumaat dan Puasa Bulan Ramadan.

Rasulullah saw bersabda :
"Salat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadan ke Ramadan adalah penghapus dosa di antaranya selama dosa-dosa besar dihindari." (Imam Muslim)

3. Puasa Sunat Asyura’ dan puasa sunat wukuf.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :“Puasa Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Puasa Asyur (10 Muharram) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu.”( Imam Muslim )

4. Tasbih, tahmid dan takbir

Sabda Rasulullah saw : “ Sesiapa yang menyebut setiap kali selepas solat dengan tasbih, tahmid dan takbir ( 33x) di akhiri dengan ucapan lah ila ha illa Allah….. maka diampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan. ( Imam Muslim)


Para ulama’ mentafsirkan dosa-dosa yang diampunkan di atas ialah hanyalah dosa kecil sebagai mana pendapat Imam al-Nawawiy dalam kitab syarh Muslim. Dosa besar hanya diampunkan bila dilakukan taubat nasuha.

Begitulah perancangan Allah yang bersifat al-Hakim ( Maha Bijaksana ) menyusun ibadat-ibadat untuk menghapuskan dosa-dosa hambaNya. Solat fardu atau puasa Ramadan yang kita lakukan dengan ikhlas akan memberi kebaikan kepada kita sendiri. Dengan kata lain Allah mewajibkan amalan-amalan tertentu bukan untuk membebankan hamba-hambaNya tetapi sebagai ujian sama ada taat atau ingkar dan untuk menyucikan rohani mereka daripada kegelapan dosa.

Betapa ruginya mereka yang mengabaikan solat fardu dan puasa wajib. Tanpa mereka sedari golongan ini membuat koleksi dosa-dosanya dari semasa ke semasa. Mereka tiada peluang untuk menyucikan jiwa mereka daripada dosa. Lebih malang sekiranya mereka dijemput oleh Malakul Maut secara mengejut tanpa taubat, Na’uzubillah.

Jadikanlah taubat sebagai amalan rutin seharian, pohonlah keampunan dariNya dan laksanakanlah amalan fardu sebaik-baiknya. Semua itu akan menyucikan dosa-dosa yang telah dilakukan. Jangan berputus asa dengan rahmat dan keampunan sekiranya selepas itu kembali melakukan dosa. Jangan terpedaya dengan tipu muslihat syaitan agar kita perputus asa dengan keampunan Allah SWT . Perbaharuilah taubat pada setiap waktu. Pohonlah pimpinan dan bimbingan Allah SWT agar sentiasa istiqamah dalam melakukan taubat kepadaNya.

Oleh : Abu Aqil
Sumber : http://pbasmkps.blogspot.com/

Read more...

Bukan sebab kena tapi sebab perlu..

Ada orang merasa malas dan letih untuk mengamalkan Islam.

Dia rasa penat. Katanya: “Islam ni susah. Itu kena buat, ini kena buat. Leceh”

Mungkin bukan seorang yang rasa begitu. Dan sememangnya, sebagai manusia yang penat dengan sesuatu yang berulang-ulang atau sesuatu yang berat perlu dilaksanakan, akan timbul dalam hatinya perasaan bosan. Akhirnya akan muncul pertanyaan: “Kenapa lah aku kena buat begini, begitu?”

Saya pun banyak berfikir berkenaan hal ini. Sebab pernah satu ketika, saya rasa lemah sampai saya berkata kepada diri saya:

“Kenapa lah aku kena solat 5 hari sekali? Sekali tak boleh?”

Dan apabila soalan itu muncul, saya tahu keimanan saya terganggu. Maka saya mencari jawapan. Bila saya mencari-cari, ah… saya jumpa.

Sebenarnya, Allah suruh buat itu dan ini dalam kehidupan kita, adalah kerana kita memerlukannya.


Allah Yang Menciptakan Kita

Satu perkara yang sering kita terlupa, tetapi kita tahu akan halnya adalah: Allah itulah Pencipta kita.

Di sini, kita dapat melihat Kenapa Allah SWT itu Maha Mengetahui. Dia juga adalah Yang Maha Bijaksana. Keagungan Allah SWT tidak akan sampai akal kita memikirkannya, dan Dia langsung tidak akan sama dengan ciptaan-ciptaan-Nya.

Pencipta, lepas itu tahu apa yang diperlukan oleh yang diciptakan-Nya.

Nampak tak di sini apa point yang hendak saya katakan?

Maksudnya, apa-apa yang Allah arahkan untuk kita, suruh kita buat itu dan ini, adalah untuk kita ini, manusia ciptaan-Nya bergerak dalam keadaan terbaik sekali. Agar hidup kita tidak berdepan dengan situasi masalah. Jadi, pendek ceritanya, Allah suruh kita buat itu dan ini adalah kerana kita perlukan benda itu.

Macam kita nak main game. Pencipta Game kata: “Game aku ni, nak main kena pakai graphic Card NVIDIA GeForce 9900 GT. Kalau tak, main dia tak bagus lah. Tersekat-sekat”

Maka, untuk main game dengan kepuasan tertinggi, kita pun beli lah Graphic Card tu, dan letakkan di dalam komputer kita.

Macam itulah analoginya kita dengan Allah SWT. Kita hendak kehidupan yang baik, maka Allah sebagai pencipta kehidupan kita kata: “Deen di sisi Aku hanyalah Islam”. Maksudnya, hendakkan kehidupan yang terbaik, manusia kena ambil Islam. Maka, kita kena lah ambil Islam. Kita ambil Islam, bukan sebab kena, tetapi sebab kita perlukan Islam untuk kehidupan yang terbaik.

Allah Maha Mengetahui.


Bagi yang menyedari

Bagi mereka yang menyedari hal keperluan ini, maka mereka akan berusaha memaksa diri mereka untuk melaksanakan apa sahaja yang Allah SWT arahkan. Hal ini kerana, mereka mengetahui bahawa, apa sahaja arahan Allah SWT adalah kerana manusia memerlukan.

Allah suruh kita solat, adalah kerana manusiamemerlukan checkpoint dalam hidup dia. Jiwa manusia perlu keluar dari dunia yang mayghul, sesak, bermasalah ini sementara, berkaunseling dengan Allah SWT, recharge semula kekuatan, kemudian masuk kembali ke dalam dunia dan mengharungi arus kehidupan. Sebab itu, 5 hari sekali solat kita, siapa yang menghayatinya, maka masalah hidupnya akan mampu dilalui dengan baik.

Allah suruh kita baca Al-Quran, kerana kita perlukan Al-Quran untuk menguatkan iman kita. Di dalam Al-Quran lah adanya aqidah kita. Kita tidak boleh nampak Allah, Rasulullah SAW pula telah wafat, maka Al-Quran sahaja wakil langit yang masih tinggal, Kalam Allah yang takkan berubah.

Allah suruh kita ambil Islam, sebab manusia perlukan satu sistem yang sempurna, lengkap, menyeluruh bagi manusia menjalani kehidupan yang baik. Akal manusia, sebagus mana pun dia mencipta satu sistem, pasti akan ada break down di mana-mana kerana mustahil akal manusia melihat sesuatu itu dengan pandangan yang sempurna kerana ia sendiri tidak sempurna dan ia sendiri ada sesuatu yang tidak dia ketahui.

Nampak?

Lagi kita tengok.

Allah suruh kita jaga hubungan dengan orang lain, sebab kita perlukan kawan, teman untuk mengharungi hidup. Allah tahu, keperluan manusia kepada ‘perkara yang terlihat’, sebab itu Dia menyuruh kita berta’aruf dan membina hubungan yang baik. Kita perlukan kesatuan untuk hidup aman damai.

Begitulah yang lain-lain. Semuanya kerana kita perlu. Manusia perlukan dan Allah tahu manusia memerlukannya, sebab itu Allah suruh manusia buat semua benda yang Dia suruh buat.

Nampak?


Kenapa kena sembah Allah?

Soalan kena ni, paling cepu mas sekali adalah Kenapa Allah kita jadikan tuhan.

Kenapa tak ambil pokok, Kenapa tak ambil batu, Kenapa tak ambil matahari?

Saya ada jawapan yang menyeronokkan.

Sebab Allah itu memang Rabb, Tuhan, Ilah kepada alam ini dan segala isinya.

Sebab hanya Allah sahaja yang mempunyai sistem lengkap, sempurna dan memenuhi kehendak manusia yang sebenarnya, seterusnya memenuhi maslahat alam seluruhnya.

Ada ke tuhan lain dalam dunia ini? Itu satu soalan.

Ada ke sesuatu yang lain(atau kalau benar ada tuhan lain pun) dalam dunia ini mampu memenuhi maslahat kehidupan insan dan alam seperti Allah SWT memenuhinya? Itu satu lagi soalan.

Kesimpulannya, kita sembah Allah SWT, sebab kita memerlukan Rabb, Tuhan, Ilahi seperti-Nya. Tanpa menjadikan Allah SWT sebagai Ilahi, Rabb, Tuhan kita, mengikuti segala arahan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, kita tidak akan mampu menjalani kehidupan ini secara sempurna.

Dan, kalau kita sempurna pun, belum tentu lagi sekeliling kita akan mengalami kesempurnaan.

Kehebatan Allah SWT adalah, Islam itu bukan untuk kepuasan individu sahaja, ia punya kaitan yang sangat banyak dengan semua yang wujud di alam ini. Tahukah Kenapa Islam ajar jaga kebersihan? Kenapa Islam ajar jangan bazir air? Kenapa Islam ajar berakhlak? Kenapa Islam ajar agar jaga masa? Kenapa Islam ajar jangan potong pokok tanpa sebab? Adakah semua itu berkaitan dengan seorang manusia sahaja? Atau semua itu ada kaitan dengan manusia lain dan alam?

Ha… cuba fikir, kaitkan semuanya, dan lihat apa hasilnya. Tidakkah dengan melaksanakan Islam, seluruh dunia akan menjadi baik? Siapa yang aturkan Islam yang serba canggih dan jauh ke hadapan ini?

Allah.

Sebab itu kita sembah Dia. Sebab kita perlukan Dia.


Penutup: Maka bukalah mata, lihatlah keperluan kita

Di sini saya suka mengajak diri saya dan anda sebenarnya, perbaiki niat kita.

Jangan rasa terpaksa. Siapa rasa terpaksa, sebenarnya dia tidak bersangka baik kepada Allah SWT. Antara sifat Allah SWT adalah adil. Allah SWT tidak pernah memungkiri janji-Nya. Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya. Tapi, kalau kita lihat, manusialah yang sering menzalimi dirinya sendiri.

Kita lihat ya, kalau kita kena buat sesuatu sebab kita perlu, bukankah yang menyuruh kita buat itu sebenarnya amat mengambil berat, amat menyayangi dan amat mengasihi?

Allah SWT dengan pengetahuan-Nya yang tidak terjangkau oleh sesiapa pun, telah memberikan pilihan kepada kita manusia. Dia dah tunjukkan jalan untuk mencapai kesempurnaan hidup, kepuasan hidup tertinggi. Sebab itu Allah tetapkan peraturan, ada yang kena buat, ada yang kena tinggal. Tapi semuanya adalah kerana kita perlukan.

Lihatlah, duduklah, muhasabahlah. Cuba tengok balik arahan-arahan dan tuntutan-tuntutan Allah. Bukankah semua itu sebenarnya memenuhi fitrah, keperluan kita sebagai manusia?

Maka sistem apakah lagi selain sistem Allah SWT yang memenuhi keperluan kita sebagai manusia? Malah, ajaibnya, apa yang Allah suruh ini tidak sahaja membawa manfaat kepada kita sebagai individu, tetapi juga kepada kita sebagai masyarakat, dan masyarakat sebagai sebahagian daripada alam.

Sebab itulah, Islam itu adalah rahmat kepada seluruh alam, bukan untuk manusia sahaja.

Bukalah mata, lihatlah.


Hilal Asyraf

Read more...

Takutlah Untuk Tidur, Menyesallah Ketika Bangun

Kita melalui hari-hari kita seperti biasa. Tidur, kemudian kita bangun untuk meneruskan hari-hari kita. Sudah berapa hari agaknya kita hidup di atas dunia ini? Kalaulah kita ini berumur 40 tahun, maka 40X365 hari = 14600 hari. Katalah kita tak pernah tidur siang, maka kita sudah 14600 kali tidur dan bangun.

Namun, dalam banyak kali kita bangun dan tidur ini, pernahkah anda rasa takut untuk tidur, dan menyesal pula ketika bangun?

Pernah? Mesti anda bertanya, Kenapa perlu takut untuk tidur, dan menyesal untuk bangun bukan?


Takutlah untuk tidur

Siapa yang memberikan anda nyawa? Kita beriman bahawa nyawa itu adalah pemberian Allah SWT. Allah boleh menariknya bila-bila masa yang Dia suka, dan kita pula tidak tahu bila Dia hendak menariknya.

Jadi, apabila setiap kali anda tidur, apakah anda boleh menjamin anda bangun keesokan harinya? Aha… itu sebabnya, saya mengajak anda untuk takut tidur.

Bayangkan, malam ini anda tidur, dan esok tidak bangun semula. Bagaimana dengan dosa-dosa anda pada hari semalam? Hutang-hutang anda yang belum berbayar? Rakan yang anda khianati dan calari hatinya? Bagaimana semua itu, jika anda tidur dan esoknya anda tidak bangun?

Pernahkah anda, sebelum melelapkan mata, bermuhasabah sebentar apa yang anda lakukan sepanjang hari? Atau anda tidur, dengan keyakinan 100% anda akan bangun keesokan harinya, lalu anda berkata: “Esok-esok lah taubat apa semua ni”

Maka tidak hairanlah, kita ini tiada peningkatan. Kerana kita sebenarnya, langsung tidak bersedia menghadapi kematian.


Menyesal lah ketika bangun
Apakah perkara dalam dunia ini, kalau kita terlepaskannya, kita tidak boleh mendapatkannya semula walau apa pun cara kita gunakan?

Satu sahaja jawapannya. – Masa –

Jadi, anda bangun pagi saban hari, pernah kah anda berfikir betapa menyesalnya anda meninggalkan hari semalam? Semalam itu, walau anda kumpul segala harta dunia ini, anda tetap tidak akan mampu mengambilnya semula.

Segala keburukan kita semalam, segala kejahatan kita semalam, segala dosa-dsa kita semalam, terpahat kemas dalam semalam. Kita tidak boleh memutar semalam, untuk memadamkan semua itu.

Pernah kah anda menyesal dengan semalam yang telah berlalu apabila anda bangun?


Kenapa perlu semua ini?
Kenapa perlu takut untuk tidur, menyesal ketika bangun?

Saya sebenarnya hendak anda nampak apa itu kehidupan sebenarnya. Jangan pandang kehidupan kita ini enteng. Manusia ini, akan dihitung oleh Allah SWT. Maka, sebelum tidur anda muhasabah lah segala perbuatan anda, bila ada dosa bersegeralah taubat, ada hutang bersegeralah bayar, ada khilaf dengan teman-teman, segeralah bermaafan. Anda mungkin tiada esok.

Bila bangun, saya nak anda rasa anda telah membazirkan kehidupan anda semalam. Maka apabila Allah izinkan anda hidup pada hari baru, dengan penyesalan terhadap hari semalam yang telah anda bazirkan, maka anda akan gunakan hari baru anda dengan sebaik mungkin, tiada pembaziran seperti hari semalam. Semalam takkan kembali, yang ada pada kita hanya hari ini. Corakkannya sebaik mungkin.


Penutup: Hidup ini, untuk persediaan ke sana
Kenapa kena hargai hidup? Kerana Allah akan kira kehidupan kita ini. Kejayaan kita, hanyalah apabila kita dilepaskan dari api neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga. Jadi, dunia ini sepatutnya kita gunakan, bukan kita dipergunakan.

Allah SWT berfirman: “Setiap yang bernyawa akan merasai kematian, dan di akhirat sana akan disempurnakan pembalasan, siapa yang diselamatkan dari neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya dia telah berjaya. Tiadalah kehidupan di dunia itu, melainkan kesenangan yang menipu daya” Surah Ali-Imran ayat 185.

Jangan bazirkan hayat anda. Bersegeralah, jangan tangguh-tangguh. Hargailah, jangan anda buang-buang.


Hilal Asyraf

Read more...

Antara SABAR dan MENGELUH

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.

"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu,tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."
Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?"
Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"
Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"
Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?"
Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membedakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."
Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi,:
" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,:
" Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."
Dan sabdanya pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)
Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

Read more...

Cerita-Cerita Teladan

>> Monday, January 18, 2010

Dari Anas r.a. berkata bahawa ada tujuh macam pahala yang dapat diterima seseorang itu selepas matinya.

1. Sesiapa yang mendirikan masjid maka ia tetap pahalanya selagi masjid itu digunakan oleh orang untuk beramal ibadat di dalamnya.
2. Sesiapa yang mengalirkan air sungai selagi ada orang yang minum daripadanya.
3. Sesiapa yang menulis mushaf ia akan mendapat pahala selagi ada orang yang membacanya.
4. Orang yang menggali perigi selagi ada orang yang menggunakannya.
5. Sesiapa yang menanam tanam-tanaman selagi ada yang memakannya baik dari manusia atau burung.
6. Mereka yang mengajarkan ilmu yang berguna selama ia diamalkan oleh orang yang mempelajarinya.
7. Orang yang meninggalkan anak yang soleh yang mana ianya selalu mendoakan kedua orang tuanya dan beristighfar baginya
8. yakni anak yang selalu diajari ilmu Al-Qur'an maka orang yang mengajarnya akan mendapat pahala selagi anak itu mengamalkan ajaran-ajarannya tanpa mengurangi pahala anak itu sendiri.

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. telah bersabda : "Apabila telah mati anak Adam itu, maka terhentilah amalnya melainkan tiga macam :
1. Sedekah yang berjalan terus (Sedekah Amal Jariah)
2. Ilmu yang berguna dan diamalkan.
3. Anak yang soleh yang mendoakan baik baginya.

Read more...

Tanda-tanda kebahagian dan kesengsaraan

Tanda-tanda Bahagia

1. Menjauhkan diri dari urusan dunia dan senang kepada urusan akhirat
2. Kemahuan kuat terhadap ibadah dan membaca al-Quran
3. Sedikit bicara terhadap apa yang tidak diperlukan
4. Sangat memelihara solat lima waktu
5. Menjaga diri dari yang haram dan syubhat, sedikit atau banyak
6. Bersahabat dengan orang-orang soleh dan baik
7. Rendah diri
8. Bersifat dermawan yang ikhlas
9. Belas kasihan terhadap makhluk-makhluk Allah yang lain
10. Bermanfaat kepada orang lain
11. Selalu ingat mati dan bersiap sedia menghadapinya

Tanda-tanda Sengsara

1. Rakus terhadap harta dunia
2. Kemauan nafsu yang kuat dan cenderung pada kelazatan dunia
3. Perkataan yang kotor dan banyak ghibah (menceritakan cela orang lain)
4. Menganggap remeh temehnya solat 5 waktu.
5. Bersahabat dengan orang-orang fasik
6. Buruk prilakunya
7. Sombong dan tinggi hati
8. Enggan memberi kebaikan kepada orang lain
9. Sedikit kasih sayang terhadap orang yang beriman
10. Pengecut
11. Lupa terhadap mati

(Dipetik dari kitab Tanhibul Ghafilin)

Read more...

6 Perkara Mendorong Seseorang Mengumpat Menurut Imam Al-Ghazali

1. Ingin memuaskan hati disebabkan kemarahan yang memuncak hingga sanggup mendedahkan keaiban dan kesalahan orang lain.

2. Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang.

3. Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah.

4. Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya.

5. Bergurau dan suka melawak untuk mencela dan menyatakan kelemahan dan kecatatan sehingga mengaibkan orang lain.

6. Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.


Sehubungan itu Imam Ghazali menyarkan 5 perkara untuk menghentikan sikap suka mengumpat. Antaranya ialah:-

# Harus sedar dan insaf memburuk-burukkan orang lain dan mengumpat itu berdosa besar.

#Sedar dan membetulkan kesalahan sendiri dari menyalahkan orang.

# Hendaklah malu apabila memperli kecacatan orang lain kerana ia seolah-olah mencerca Tuhan yang menciptakan.

Read more...

Untuk menjadikan diri kita seseorang yang sentiasa berfikiran positif, adalah amat penting untuk kita menyedari kepentingan menyayangi diri kita sendiri. Kita perlu menghargai kesudian Allah untuk menciptakan kita sebagai salah seorang manusia yang pernah lahir dimukabumi Allah ini. Tanpa kesudian atau kehendakNya, kita tidak akan hadir dibumi ini untuk merasai segala apa yang telah kita rasakan selama ini. Kadangkala kita lupa dan tidak menyedari akan hakikat ini. Dengan menyedari bahawa penciptaan Allah terhadap diri kita adalah satu anugerah, maka dengan itu, wajiblah kita berterimakasih kepada Allah diatas anugerah kehidupan yang diberikanNya ke atas diri kita.

Dengan keizinan dan kemahuanNya, maka kita dapat merasai suka, duka, sedih, gembira, lapar, dahaga, kenyang, membuat pilihan, merasai perasaan cinta, kecewa, dan pelbagai macam lagi nikmat-nikmat yang tak terkira dan tak terhitung oleh kita. Sepertimana yang diulang oleh Allah sebanyak 31 kali didalam Surah Ar-Rahman:

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?" (Ar-Rahman: 13,16,18,21,23,25,28,30,32,34,36,38,40,42,45,47,49,51,53,55,57,59,61,63,65,67,69,71,73,75,77)

Maka salah satu daripada cara kita berterimakasih atau bersyukur kepada Allah ialah dengan cara menyayangi diri kita sendiri. Kita mesti menghargai setiap segi dari apa yang ada pada diri kita sama ada dari segi fizikal mahupun rohani. Kita harus berbangga dengan diri kita, bangga yang dimaksudkan disini bukan riak atau takjub dengan diri kita sendiri sehingga memandang rendah pada orang lain. Tetapi kita mesti berbangga dengan apa yang telah dikurniakan oleh Allah untuk diri kita dan dimasa yang sama kita mesti juga menghargai dan menyayangi makhluk ciptaan Allah yang lain.

Firman Allah " Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri"
"Seseorang yang beriman itu adalah seseorang yang mana manusia lain selamat dari tangannya dan perkataannya.

Tetapi, bagaimanakah kita ingin menyayangi seseorang, sekiranya kita sendiri tidak tahu untuk menyayangi diri kita? Oleh itu, mulai saat ini, mulakanlah satu hubungan cinta dengan diri anda. Berbanggalah dengan paras rupa anda, dengan rambut anda, dengan bentuk tubuh fizikal anda, terimalah diri anda seadanya. Berikan perhatian pada diri anda seperti mana anda memberikan perhatian kepada orang yang anda cintai atau kasihi.

Hargai setiap saat jangka hayat anda yang masih Allah panjangkan. Islam adalah ugama yang syumul, ianya adalah Cara Hidup. Kita diajarkan membaca doa ketika bangun tidur, bersyukur dan senyum. Ini menunjukkan bahawa Allah telah memerintahkan kita supaya mengambil tindakkan positif sejurus kita bangun untuk memulakan hari yang baru. Maka dengan membaca doa bangun tidur, bersyukur dan senyum, anda sedang menghantar gelombang positif yang akan menarik tenaga positif kepada anda diawal pagi lagi. Ramai yang tidak menyedari hakikat ini, malah ada yang menyumpah atau merungut apabila dikejutkan supaya bangun untuk bersolat Subuh tanpa menyedari bahawa mereka telah menarik tenaga negatif kepada mereka untuk memulakan hari itu. Dan apabila situasi dan persekitaran realiti kehidupan mereka pada hari itu mengalami kesukaran, umpamanya dengan tiba-tiba tayar kereta pancit, atau tertinggal dompet, datang lewat ke pejabat, dimarahi ketua jabatan, komputer diserang virus, kerja yang dilakukan semalam semua terpadam, dan sebagainya, mereka merungut lagi, menyumpah lagi dan terus-terusan menarik tenaga-tenaga negatif kedalam realiti hidup mereka.

Oleh itu, janganlah merungut dan menyumpah lagi diawal pagi, ubahlah tabiat-tabiat buruk kita yang akhirnya memakan diri kita sendiri. Jagalah makanan, pemakaian dan penampilan diri anda, kebersihan diri dan jiwa, sediakan tempat tidur yang bersih dan selesa sepertimana yang selalu anda sediakan kepada tetamu yang bermalam dirumah anda. Jangan anda biarkan diri anda tidur dengan selimut yang berbau hapak, cadar dan sarung bantal yang kopam kerana jarang dibasuh, kerana ini bererti anda tidak menghormati diri anda. Mengapa apabila kita ingin keluar berjumpa dengan seseorang yang kita sukai, contohnya seperti pergi dating dengan teman wanita, kita betul-betul menjaga penampilan diri kita? Tetapi, persoalannya disini, adakah penampilan yang anda lakukan itu adalah untuk membuat teman wanita anda selesa, ataupun kerana memang itulah diri anda. Mengapa bila bersendirian, kita tidak mengambil kira soal ini? Ini bermakna, kita tidak menghormati dan menghargai diri kita sendiri. Rasulullah S.A.W sendiri memakai wangian, tak kira ketika solat, ke mesjid atau berziarah, dan malaikat sukakan wangian. Pelajari sirah Rasulullah dan anda akan mendapati banyak perkara yang dilakukan oleh baginda dalam menjaga penampilan dan kebersihan diri. Baginda memakai minyak rambut, membungkus rambut dengan kain sebelum memakai serban supaya serban tidak terkena minyak, baginda tidak memakan bawang putih dalam waktu-waktu yang dekat untuk solat kerana tidak mahu mulut berbau ketika bersolat menyembah Allah. Banyak lagi akhlak dan adab yang ditunjukkan oleh baginda yang menjurus kepada menghargai diri dan kehidupan sebagai anugerah dari Allah.

Manjakanlah diri anda dengan cara yang anda mampu dan tidak melampaui batas, gosoklah gigi setiap hari - berbicara soal bersugi ini, Rasulullah S.A.W pernah bersabda mahfumnya : "sekiranya aku tidak memikirkan perkara ini akan memberatkan umatku, pasti aku akan memohon supaya Allah mewajibkan bersugi keatas umat ini " Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya amalan bersugi/memberus gigi dalam Islam. Tetapi ramai antara kita termasuk saya sendiri, mengambil remeh tentang soal ini. Semoga Allah mengampunkan kita semua. Diriwayatkan juga, pada zaman pemerintahan khalifah Umar Al-Khattab, suatu ketika, baginda sedang memimpin pasukan tentera islam berperang dengan musuh islam. Tetapi setelah beberapa hari bertempur, pihak musuh masih ampuh, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Maka Khalifah Umar memeriksa barisan tentera Islam untuk melakukan muhasabah. Baginda mendapati pasukan tentera Islam tetap melakukan aktiviti ketenteraan mengikut adab Islam yang betul, iaitu umpama singa disiang hari, tetapi umpama abid dimalam hari. Tentera islam tidak meninggalkan solat, tetap melakukan amal dan qiam diwaktu malam dan sebagainya. Setelah pemeriksaan dan post mortem dijalankan satu persatu, maka didapati, ramai tentera Islam yang meringankan salah satu sunnah, iaitu bersugi. Maka tanpa berlengah lagi, Khalifah Umar memerintahkan seluruh pasukan tenteranya bersugi beramai-ramai. Dengan izin Allah, setelah itu, pasukan tentera Islam mencapai kemenangan dalam peperangan tersebut.

Syampukanlah rambut selalu, jaga kesihatan diri anda, bersih kuku anda (lakukan pada hari-hari yang disunatkan memotong kuku, umpamanya pagi isnin, khamis dan jumaat - percayalah, ada hikmah dan penjelasan saintifik dari segi kesihatan disebalik waktu-waktu yang disunatkan ini). Usahakan supaya diri anda tinggal dalam rumah atau bilik yang bersih, tersusun rapi dan selesa. Walaupun anda seorang yang miskin, ini tidak bermakna anda perlu hidup dalam rumah yang berselerak, kotor dan berserabut. Bukankah menjaga kebersihan diri itu satu tuntutan dalam Islam, tak terkecuali sesiapa pun.

Bersihkan minda dan hati anda dengan perkara-perkara yang positif dan menambah keyakinan diri anda. Dapatkan info-info dan bahan-bahan pembacaan yang berkaitan. Ingat! Akal fikiran juga adalah bahagian dari diri anda yang paling terpenting sekali! Jangan biarkan diri anda selalu didalam keadaan bersedih, hiba dan berduka walaupun ketika anda sedang dilanda masalah kehidupan seperti kekecewaan dalam percintaan, karier , pelajaran dan musibah yang lain. Tentang musibah ini akan kita bicarakan dengan lebih lanjut didalam bab Memahami Musibah.

Apabila kita telah mula menjalinkan hubungan cinta dengan diri kita sendiri, satu situasi positif yang selama ini jarang kita rasakan, akan dapat kita rasai. Anda akan mendapati hidup anda lebih tenang, bersemangat, berkeyakinan dan kadangkala kita sendiri tidak tahu dari manakah datangnya semangat baru ini. Ini adalah kerana anda telah menarik banyak tenaga positif berbentuk kasih sayang kepada diri anda. Anda akan dapat merasainya sendiri. Suasana persekitaran anda akan menjadi lebih damai dan positif. Urusan-urusan seharian anda akan menjadi lebih teratur dan terasa mudah. Anda juga akan merasakan satu suntikan semangat untuk beribadah yang kuat dan tanpa anda sedari, anda akan merasakan dekatnya anda dengan Pencipta anda.

Seperkara yang paling menarik apabila fikiran dan minda anda menjadi semakin positif ialah, hati anda secara ikhlas akan merasa jelek untuk melakukan perbuatan yang berdosa dan seakan ada kekuatan yang jitu pada diri anda yang dapat mengelakkan anda dari berbuat perkara-perkara yang keji dan memudaratkan diri anda sendiri.

Segala perkara baik yang anda rasakan ini, sebenarnya adalah satu lagi nikmat Allah keatas hambaNya yang bersyukur. Dalam konteks ini, kita telah menjadi orang yang bersyukur kerana telah menyedari kepentingan menyayangi dan menghormati diri kita sebagai salah satu nikmat dari Allah.

Firman Allah: Sesungguhnya, kami telah kurniakan hikmat (ilmu pengetahuan) kepada Luqman supaya dia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang bersyukur, sebenarnya dia telah bersyukur bagi faedah dirinya sendiri dan sesiapa yang ingkar, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Terpuji (Luqman:12)

Mulai saat ini, mulakan hari baru dengan rasa cinta yang mendalam terhadap diri anda sendiri, lakukan secara perlahan-lahan kerana cinta itu datang dengan ikhlas, cinta itu tidak boleh dipaksa, biarlah cinta itu hadir dengan ikhlas. Pepatah mengatakan : 'Tak kenal maka tak cinta". Oleh itu sebagai permulaan, kenalilah diri anda, apakah sebenarnya citarasa anda yang betul, maka penuhilah citarasa anda itu. Walau siapa pun manusia itu, pasti akan ada kebaikan dalam dirinya yang selama ini tidak disedari olehnya. Sentiasa terapkan dalam diri anda bahawa anda adalah satu anugerah penciptaan Allah yang sangat beruntung kerana manusia itu adalah penciptaan yang diciptakanNya dengan sebaik-baik kejadian.

Berusahalah untuk menukar segala apa tabiat buruk yang ada pada diri anda sedikit demi sedikit. Ingatlah, Allah sentiasa akan membantu hambaNya yang ingin berubah.

Firman Allah: Allah tidak akan merubah nasib seseorang atau sesuatu kaum, sebelum orang itu atau kaum itu berusaha (menunjukkan komitmen) untuk mengubah nasib diri mereka.

Firman Allah ini jelas dan terang sekali menyeru kita bahawa sekiranya kita inginkan nasib kita berubah, situasi kewangan kita berubah, kesihatan kita berubah, keluarga kita berubah, pasangan kita berubah, masyarakat kita berubah, negara kita berubah, ( segalanya menjurus kepada perubahan dari keadaan buruk kepada keadaan yang baik) maka kita perlu melakukan PERUBAHAN itu sendiri bermula dengan diri kita, dan perubahan yang pertama-tama sekali yang perlu anda lakukan ialah: perubahan pada cara anda berfikir. Berfikirlah dengan kaedah husnuzzon (Bersangkabaik/Berfikiran Positif)

Read more...

link 4 dakwah

BannerFans.com

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP